Thursday : Jul 24, 2014
 
 

 

 
 
  Sistem PBS di sekolah tidak sesuai dilaksanakan. (Harian Metro: 20102012) - MOE

 

MAKLUM BALAS LAPORAN AKHBAR

 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS “Ummi08 (IMA85626)“ dalam ruangan SMS dalam akhbar Harian Metro bertarikh 20 Oktober 2012.

 

“Sistem band dalam PBS di sekolah tidak sesuai dilaksana di negara kita. Minta pihak berkenaan mengkaji semula.”

 

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah secara terancang mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan. Dokumen Standard Prestasi (DSP) adalah rujukan utama guru untuk mentaksir dan melapor penguasaan murid mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

 

DSP ini mengandungi band, pernyataan standard, deskriptor dan evidens. Band adalah tahap penguasaan murid, di mana Band 6 adalah band tertinggi manakala Band 1 adalah band terendah. Pernyataan standard adalah prestasi atau tahap penguasaan murid secara umum dalam pembelajaran. Manakala deskriptor adalah pernyataan tentang tingkahlaku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi atau tahap penguasaan murid dalam pembelajaran.

 

DSP adalah merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari. Justeru, ia tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid.

 

Maklumbalas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid membolehkan pihak yang bertanggungjawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan Negara.

 

Untuk keterangan lanjut mengenai PBS sila rujuk laman web KPM di alamat www.moe.gov.my/lp. 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

 

 
 
 
 
 
 

 
© 2014. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 with 1024 x 768 resolution