Selasa, 25 Nov 2014
 
 

 

 
 
  PM LANCAR KEMPEN PROMOSI TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014 (Berita Harian, NST, Harian Metro, Utusan Malaysia: 20-01-2013) - MOTOUR

BUKIT JALIL, 19 Januari 2013 – Kerajaan mensasarkan ketibaan pelancong asing meningkat kepada 28 juta orang bagi Tahun Melawat Malaysia 2014.

 

Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, sasaran ini boleh direalisasikan dengan meningkatkan momentum pertumbuhan industri pelancongan negara menerusi Kempen Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014. Kempen yang akan berlangsung selama setahun ini, bukan sahaja mempromosi Malaysia di peringkat dunia, malah ia juga merupakan inisiatif yang proaktif oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk memastikan rakyat Malaysia bersedia untuk bersama-sama menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014.

 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014, di perkarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

 

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Dr. Ng Yen Yen, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim dan Timbalan Menteri Pelancongan, Dato Dr James Dawos Mamit.

 

Pada majlis sama, lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2014 iaitu “Celebrating 1Malaysia… Truly Asia” turut diperdengarkan buat pertama kalinya kepada orang ramai. Lagu tema tersebut akan digunakan untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 di seluruh dunia.

 

Bagi memeriahkan lagi pelancaran kempen tersebut, Kementerian Pelancongan turut mengadakan karnival 3 hari bermula 18 Januari hingga 20 Januari 2013 yang menawarkan pelbagai aktiviti dan hadiah yang menarik kepada pengunjung. Ini termasuklah Pertandingan Menari Gangnam Style 1Malaysia Truly Asia, persembahan artis seperti Ella, Dato’ Khatijah Ibrahim, Azlan and The Typewriter, Jimmy Palikat dan ramai lagi. Terdapat juga cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama iaitu kereta SUV Sports Chevrolet Orlando yang ditaja oleh Naza World dan juga  hadiah lain seperti motosikal Naza Blade 250cc, Skuter Jet Power 125cc, basikal, pakej percutian, tiket penerbangan serta tiket masuk ke taman tema dan destinasi-destinasi pelancongan.

 

Pengunjung ke karnival ini juga akan mendapat pendedahan tentang acara-acara pelancongan negara seperti Fabulous Food 1Malaysia, Festival Pelancongan Seni Kontemporari, Pesta Kasut Antarabangsa 1Malaysia, Homestay, Malaysia Rumah Keduaku, Parks and Gardens, Bike Ride dan pelbagai acara serta produk pelancongan yang lain.

 

Karnival ini turut disertai oleh beberapa agensi kerajaan lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Industri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Taman Laut, Jabatan Perhilitan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

 

Taman tema seperti Kidzania dan Legoland turut menyertai pameran di karnival ini. Selain itu, lebih 1,000 motosikal berkuasa besar seperti Harley Davidson, Ducati, BMW dan GIVI di pameran 1Malaysia Chopper, turut dipamerkan. Pengunjung juga boleh membeli pakej-pakej pelancongan terbaik daripada lebih 200 booth yang disediakan oleh hotel, syarikat agen pelancongan serta operator produk pelancongan.

 

Seramai 110 orang media antarabangsa daripada 25 buah negara turut sama hadir pada majlis pelancaran tersebut.

 

 

LATARBELAKANG

 

Industri pelancongan merupakan antara sektor terpenting untuk menjamin pertumbuhan ekonomi Malaysia serta sektor perkhidmatan. Industri pelancongan menyediakan peluang pekerjaan kepada 1.8 juta rakyat Malaysia.  Guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.7 peratus pada tahun 2011 berbanding 4.7 peratus pada tahun 2010. Pada tahun 2011, sumbangan guna tenaga berkaitan industri pelancongan adalah 16.4 peratus berbanding 15.6 peratus pada tahun sebelumnya.

 

Pada tahun 2011, negara kita telah menerima kedatangan 24.7 juta pelancong asing. Peningkatan yang besar berbanding tahun 1999, di mana kita hanya menerima 7 juta orang pelancong asing.

 

Industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar bagi tukaran matawang asing dengan nilai RM58.3 bilion pada tahun 2011.

 

Sektor pelancongan menjana pendapatan sebanyak RM 4.85 bilion setiap bulan, RM1.12 bilion setiap minggu, RM160 juta setiap hari dan RM6.6 juta setiap jam.

 

Industri pelancongan adalah salah satu industri yang mampu menjana pendapatan yang tinggi, atau Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk membantu Economic Transformation Program (ETP). Sebanyak 12 projek permulaan telah dikenalpasti di bawah NKEA Pelancongan untuk membangunkan lagi industry pelancongan sehingga tahun 2020 yang bakal menyediakan lebih setengah juta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

 

Menjelang tahun 2020, industri pelancongan dijangka akan menyumbang sebanyak RM168 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara, dengan jumlah ketibaan pelancong dijangka meningkat kepada 36 juta orang (MTTP 36:168:2020)

 

 
 

Program MESRA Rakyat Daerah Manjung

Tarikh : 20 November 2014 (Khamis)
Masa : 8.00 pagi 1.00 petang
Tempat : Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung, Perak.

Majlis ini akan dirasmikan oleh YB Dato’ Rashidi bin Ibrahim, ADUN Pasir Panjang, Perak

 
 
 

 
© 2014. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 with 1024 x 768 resolution